Wednesday, September 9, 2009

"H1N1 atau Selsema Babi satu peringatan dari Allah"

Author: Ustaz Tuan Mansor......Segamat Johor

Pembaca saya yang di hormati, harap sebarkan mesej ini kepada semua. Kerajaan perlu ajak rakyat kembali jalan Allah dan jangan lalai perintah Allah.

Sebenarnya kehidupan di dunia inilah yang banyak menyebabkan manusia lalai dan lupa diri dari mengingati Allah Subhanahu Wata’ala. Kerana sifat manusia itulah Allah Subhanahu Wata’ala telah mengutus Nabi dan Rasul bagi memberikan peringatan supaya mereka bertaubat dan beramal saleh. Tetapi masih juga ada di antara manusia yang ingkar dan berlaku sombong di muka bumi, tidak mahu mengikut perintah Allah Subhanahu Wata’ala maka kerana itu Allah Subhanahu Wata’ala menurunkan bala bencana sebagai cobaan dan dugaan agar manusia tidak berterusan lalai dan akan insaf terhadap apa yang mereka lakukan. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ar Ruum ayat 41 tafsirnya :

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia : Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat”.

Sesungguhnya segala musibah yang ditimpakan ke atas manusia adalah merupakan ujian dan peringatan kepada manusia. Oleh itu kita hendaklah bersabar dan redha terhadap qada dan qadar Allah Subhanahu Wata’ala dan anggaplah ujian tersebut sebagai cobaan untuk memantapkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Adapun ujian atau bala yang ditimpakan Allah Subhanahu Wata’ala ke atas manusia itu ada bermacam-macam keadaan, di antaranya bencana alam seperti kemarau, banjir, gempa bumi, tanah susur dan sebagainya ataupun ianya dari perbuatan manusia itu sendiri seperti kegawatan ekonomi, kebakaran dan sebagainya ataupun wabak penyakit seperti SELSEMA BABI ATAU H1N1, AIDS, SARS, Selesema Burung dan sebagainya.

Kini kita dikejutkan pula oleh satu wabak penyakit iaitu Selesema Babi. Wabak Selesema Babi ini sedang melanda beberapa buah negara luar dan kini di Malaysia. Penyakit ini adalah sejenis penyakit yang menjejaskan sistem pernafasan yang lazimnya menjangkiti haiwan khususnya babi disebabkan oleh virus Influenza jenis A.

Pada kebiasaannya wabak haiwan ini tidak menjangkiti manusia tetapi satu jangkitan luar biasa melibatkan penyebaran penyakit ini daripada manusia kepada manusia telah disahkan oleh Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Selesema babi pada manusia boleh menjejaskan semua peringkat umur manakala tanda-tanda penyakit ini serupa dengan demam selesema biasa seperti demam panas, sakit tekak, batuk selesema dan sakit pernafasan. Selesema terbaru ini dikatakan lebih mudarat berbanding selesema sebelumnya kerana ia menggabungkan virus burung, manusia dan khinzir dan setakat ini tidak terdapat vaksin bagi selesema ini.

Berikut adalah maklumat lengkap Selsema Babi:
Apakah Selesema Babi?

Selesema babi adalah sejenis penyakit respiratory yang ditemui dalam kawanan babi disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1). Selesema babi ini dikesan saban tahun dan biasanya terjadinya kepada mereka yang mempunyai kaitan dengan babi. Manusia biasanya tidak dijangkiti oleh virus ini tetapi jangkitan terhadap manusia telah dikesan. Virus selesema babi telah dilaporkan merebak dari manusia ke manusia lain. Tetapi pada masa lepas, pemindahan virus ini adalah terhad dan menjangkiti sehingga tiga orang sahaja.

Adakah Virus Ini Berjangkit?

CDC telah mengesahkan bahawa virus ini (H1N1) adalah berjangkit dan merebak dari seorang ke seorang manusia lain. Walau bagaimanapun masih belum diketahui cara dan bagaimana mudahnya jangkitan ini terjadi.

Apakah Tanda-tanda dan Simptom Demam Babi Terhadap Manusia?

Simptom selesema babi ini terhadap manusia adalah sama dengan simptom selesema biasa seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, pening kepala, sejuk dan kelesuan. Ada juga sesetengah kes cirit-birit dan muntah yang berkait dengan selesema burung yang dilaporkan.

Pada masa yang lepas, beberapa penyakit (kegagalan paru-paru dan sistem pernafasan) dan kematian telah dilaporkan dengan jangkitan selesema babi dalam manusia. Seperti virus selesema bermusim, selesema babi boleh menyebabkan keadaan kesihatan kronik.

Apa Yang Perlu Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dijangkiti Selesema?

Perkara yang terpenting sekali adalah membasuh tangan. Cuba untuk berada pada tahap yang paling sihat. Dapatkan tidur yang cukup. Sentiasa aktif, menangani tekanan, minum banyak air dan makan makanan berkhasiat. Cuba mengelak dari menyentuh tempat yang dicemari dengan virus. Mengelak hubungan dengan mereka yang sakit.

Apakah Kawasan-kawasan Yang Berkemungkinan Sebagai Tempat Yang Dicemari?

Kuman boleh merebak apabila seseorang menyentuh sesuatu yang dicemari dengan kuman dan menyentuh pula mata, mulut dan hidung mereka. Titisan rembesan dari batuk dan bersin dari mereka yang dijangkiti boleh bergerak melalui udara. Kuman boleh merebak apabila seseorang itu menyentuh titisan rembesan batuk dan bersin dari seorang di atas permukaan seperti meja dan permukaan lain dan menyentuh mata, mulut dan hidung sebelum membasuh tangan mereka.

Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dihinggapi Penyakit?

Buat masa ini belum lagi ada sebarang vaksin untuk melindungi dari selesema babi ini. Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk membantu menghalang penyebaran kuman yang menyebabkan penyakit pernafasan seperti demam selesema. Cubalah langkah-langkah ini untuk melindungi kesihatan anda:

* Tutup/lindung mulut dan hidung anda dengan tisu sewaktu bersin atau batuk. Buangkan tisu tersebut ke dalam tong sampah selepas menggunakannya.

1. Basuhlah tangan dengan sabun dan air dengan kerap terutamanya selepas batuk atau selesema. Pembersih tangan berasaskan alcohol juga berkesan.

2. Mengelak dari menyentuh mata, hidung dan mulut. Kuman boleh merebak dengan cara ini.

3. Jika anda sakit akibat demam selesema, disyorkan supaya anda tidak bekerja atau ke sekolah juga mengehadkan pergaulan dengan orang lain supaya mereka tidak dijangkiti.

Jika anda sakit anda perlu:-

1. Tinggal di rumah dan mengelak hubungan dengan orang lain sebaik mungkin untuk mengelak jangkitan;

2. Mendapatkan rawatan kecemasan jika mengalami tanda-tanda awal penyakit.

Doa
Akhirnya sama-samalah kita berdoa dan memohon hidayah serta rahmat dari Allah Subhanahu Wata’ala semoga diri kita, ahli keluarga kita, negara dan umat Islam seluruhnya mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala serta selamat dari segala wabak penyakit dan bala bencana. Amin Ya Rabbal’alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 214 tafsirnya :

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cobaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya, bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)”.

No comments: